You Are Here: Home » Aktiviti » Bujang Melaka Ditawan

Bujang Melaka Ditawan

Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (Surah Al-Israa’: 37)

(Sila tekan gambar untuk ke album Gunung Bujang Melaka)

Walaupun beberapa orang daripada ahli yang sudah berkahwin, namun Gunung Bujang Melaka tetap menjadi pilihan. Seramai 21 orang peserta yang telah melibatkan diri dalam ekspedisi yang dianjurkan oleh Kelab Belia Haluan Ipoh dan Kelab Alam Sekitar Perak. Ekspedisi ini berjalan selama 2hari 1malam bermula pada 25 Februari hingga 26 Februari 2012. Gunung Bujang Melaka ini terletak di Kampar, Perak dengan ketinggian 1234m. Perjalanan hari pertama mengambil masa lebih kurang 6jam dimana pelbagai rintangan dan ranjau semasa pendakian. Ekspedisi bermula pada jam 9.00 pagi dengan aktivti regangan, bacaan doa dan taklimat ringkas tentang pendakian tersebut. Lebih kurang 20 minit perjalanan, kami sampai di kawasan Air Terjun Batu Berangkai. Perjalanan diteruskan sehingga kami berhenti rehat di sebuah rumah orang asli. Di situ mula kelihatan wajah-wajah peserta yang kepenatan sambil terlihat sinar mata yang sentiasa dahagakan air. Pendakian diteruskan dimana kali ini trek mula mencanak dan mencacak yang menyebabkan segala otot di badan ini mula teruji. Di sini bermulalah perpecahan kumpulan akibat kepenatan namun tidak memadamkan semangat peserta untuk menakluki puncak gunung tersebut. Kira-kira jam 11.30, kami tiba di Kem Pacat. Memang sesuai nama ini diberikan kerana kewujudan pacat pada waktu itu amat memberansangkan. Setelah semua peserta nampak bersedia, pendakian diteruskan lagi. Setelah pelbagai cabaran dan dugaan ditempuhi, akhirnya kami tiba di Kem Lebah dimana kami bakal bermalam di camp site ini. Aktiviti memasang khemah dan memasak berjalan pada waktu tersebut bagi memudahkan peserta berehat. Dengan kejernihan air sungai di camp site itu, terasa terubat akan kepenatan badan ini.

Pada sebelah malamnya selepas selesai solat dan makan malam, sedikit perkongsian yang disampaikan oleh Cikgu Ahmad Salleh. Beliau menyentuh tentang beberapa aspek yang perlu ada pada pemuda bagi melahirkan suatu golongan yang mampu untuk membangunkan semula Islam. Beliau juga berkongsi sedikit tips bagi mengelakkan pacat dari “hinggap” pada diri. Sesi perkongsian kemudiannya tamat dan semua peserta diberi kelonggaran untuk aktiviti masing-masing.

Selesai azan subuh berkumandang, kami mengerjakan solat subuh berjemaah. Mengikut perancangan kami semalam, perjalanan ke puncak bermula jam 8 pagi. Semua peserta diminta untuk bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Bujang Melaka dengan keadaan “free body”. Di situlah aspek pengurusan diri amat memainkan peranan penting. Pengurusan Diri, Pengurusan Diri, Pengurusan Diri. Kami memulakan perjalanan menuju puncak seperti yang telah dirancang. Keadaan turun naik gunung menyebabkan ramai yang tertipu dengan jarak puncak tersebut. Alhamdulillah, kami tiba di puncak sekitar jam 10 pagi. Pelbagai aksi, loncatan dan posing telah berlaku ketika kami berada di puncak. Bagi menandakan yang kami telah berjaya sampai ke puncak gunung, telah kami tinggalkan button Kelab Belia Haluan Ipoh sebagai bahan bukti. Kami tiba semula di Kem Lebah sekitar jam 12 tengahari dan dinasihatkan agar bersedia dan berkemas untuk turun.

Jam menunjukkan pukul 1 petang. Perjalanan untuk turun bermula setelah camp site dibersihkan dari sampah sarap. Perjalanan turun agak mencabar kerana kami perlu berpaut pada akar dan batang pokok bagi melicinkan perjalanan. Perjalanan turun mengambil masa 3 jam lebih untuk sampai ke Air Terjun Batu Berangkai. Di situ kami diberikan sedikit masa untuk berendam bagi menyegarkan badan dan memulihkan semula tenaga. Alhamdulillah, kami tiba di tempat letak kereta masjid sekitar jam 5 petang. Pelbagai perkara telah kami pelajari daripada pendakian ini merangkumi aspek rohani, jasmani dan aqli. Moga ekspedisi ini dapat memberi suatu pengalaman yang meningkatkan lagi kualiti diri dan gerak kerja kita. Wallahu’alam.

About The Author

KELAB BELIA HALUAN IPOH (PPBM 3732/09) telah berdaftar di bawah Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia pada 27 Mei 2009. KBHI beroperasi di pejabat yang beralamat No.21A, Persiaran Sepakat 3, Taman Indah Jaya, 31350 Ipoh, Perak.

Number of Entries : 96

Comments (6)

Leave a Comment

Copyright © 2013 Kelab Belia Haluan Ipoh. All Rights Reserved. KBHI

Scroll to top
shared on wplocker.com