You Are Here: Home » Aktiviti » Gadget dan Pendidikan

Gadget dan Pendidikan

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” Surah Luqman: 17

Telah diadakan program Seminar Pendidikan Keluarga pada 12 November 2017 bertempat di Dewan Masjid Sultan Yussuf, Rapat Setia, Ipoh. Seminar ini adalah anjuran Biro Pembangunan Keluarga HALUAN Perak, dengan kerjasama Kelab Belia HALUAN Ipoh dan Biro Keraian dan Belia Masjid Sultan Yussuf dengan membawa tema “Gadget dan Pendidikan’ dimana ia memfokuskan tentang impak gadget pada pendidikan dan institusi kekeluargaan. Seramai 66 orang peserta yang hadir dari sekitar Negeri Perak.

Program bermula dengan bacaan Al-Quran oleh saudara Abdullah Syahid bin Zul Safaruddin kemudiannya ucapan aluan oleh wakil HALUAN Perak iaitu Haji Razali bin Mohd Jamil. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih pada pihak Jawatankuasa Masjid atas kesudian memberi ruang pada pihak HALUAN untuk mengadakan program ini. Beliau turut berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang. Seterusnya ucapan perasmian oleh Encik Masni Shahril bin Abu Bakar selaku Pengerusi Biro Keraian dan Belia Masjid Sultan Yussuf. Turut hadir pada program tersebut ialah Haji Mohd Alwi bin Taib, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Sultan Yussuf.

Terdapat dua slot dalam seminar ini yang telah dikendalikan oleh Prof Madya Dr Zulaiha Ali Othman, Pensyarah Kejuruteraan Perisian, Fakulti Teknologi Sains dan Maklumat UKM. Antara perkara yang beliau kongsikan ialah penggunaan Smart Gadget dengan ilmu. Hal ini kerana penggunaan Smart Gadget memberi 80% kebaikan dalam kehidupan manakala hanya 20% sahaja ancaman. Namun begitu, jika digunakan tanpa ilmu makan ancaman akan mampu menguasai kebaikannya. Beliau juga turut menekankan tentang privasi dalam alam siber ini dimana masyarakat terlalu mudah mendedahkan maklumat diri, lokasi dan aktiviti. Perkara ini boleh memberi potensi untuk diintip atau dirisik seterusnya membuka peluang untuk berlaku perkara yang tidak diingini. Sebaiknya hanya maklumat umum sahaja yang diletakkan di media sosial.

Beliau juga turut berkongsi tentang permasalahan yang sedang melanda pada hari ini iaitu ketagihan yang terbahagi pada empat aspek iaitu Gajet, Internet/ Media Sosial, Game dan Pornografi. Beliau menceritakan tentang bagaimana ketagihan ini menyebabkan seseorang individu itu tidak mampu mengawal dirinya sendiri dan hilang keseimbangan hidup. Turut disentuh oleh beliau ialah permasalahan ‘Sexting’ iaitu mesej yang berbaur pada unsur-unsur seks melalui aplikasi tertentu. Permasalahan ini akan memberi impak yang semakin teruk jika institusi kekeluargaan sendiri tidak memainkan peranan dalam membentuk individu yang baik dan menjadikan ‘ubat’ pada masyarakat.

Program diteruskan dengan sesi soal jawab seterusnya ucapan penutup oleh Pengerusi Biro Pembangunan Keluarga HALUAN Perak, Ustaz Aizul Ahyar bin Saminan. Beliau berharap agar program ini dapat memberi pengajaran pada yang hadir dana dapat dikongsi bersama dengan yang lain. Moga program ini dapat diteruskan lagi untuk siri seterusnya.

Ucapan perasmian oleh Encik Masni Shahril bin Abu Bakar, Pengerusi Biro Keraian dan Belia Masjid Sultan Yussuf

Seminar Pendidikan Keluarga dikendalikan oleh Prof Madya Dr Zulaiha Ali Othman

Peserta bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab

About The Author

KELAB BELIA HALUAN IPOH (PPBM 3732/09) telah berdaftar di bawah Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia pada 27 Mei 2009. KBHI beroperasi di pejabat yang beralamat No.21A, Persiaran Sepakat 3, Taman Indah Jaya, 31350 Ipoh, Perak.

Number of Entries : 96

Leave a Comment

Copyright © 2013 Kelab Belia Haluan Ipoh. All Rights Reserved. KBHI

Scroll to top
shared on wplocker.com