You Are Here: Home » Aktiviti » Persediaan & Pembinaan Keluarga Mithali

Persediaan & Pembinaan Keluarga Mithali

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” Surah At-Tahrim: 6

IPOH, PERAK 15 Mei 2018 – “Persediaan & Pembinaan Keluarga Mithali” merupakan tema untuk program Seminar Keluarga Mithali yang telah diadakan pada 13 Mei 2018 (Ahad) bertempat di Surau Al-Ihsaniah, Taman Rapat Damai, Ipoh. Seminar tersebut telah dikendalikan oleh Encik Azmi bin Bahari (Trainer Famili Mithali Consultancy) yang telah dihadiri seramai 51 orang peserta. Seminar ini adalah anjuran bersama Biro Pembangunan Keluarga HALUAN Perak dan Kelab Belia HALUAN Ipoh.

Slot pertama bermula dengan pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Bersama Mengharungi Gelombang Hidup Rumahtangga’. Beliau menyentuh tentang ujian dan kesusahan (Al-Kabat) setiap manusia yang telah Allah tetapkan dalam kehidupan. Dengan kesusahan itu akan membina diri & membentuk jiwa bermasyarakat. Begitu juga dalam bahtera perkahwinan, akan berlaku ujian dan gelombang sepanjang pelayarannya. Hal ini kerana perkahwinan itu untuk mengurus lebih dari satu jiwa tetapi ini adalah saham akhirat. Beliau juga turut membincangkan tentang sikap kita dalam menghadapi sesuatu masalah. Kadangkala sikap kita menjadikan masalah yang kecil itu menjadi besar. Tidak ada ujian di luar kemampuan kita tetapi ada ujian yang di luar dugaan kita. Beliau juga menasihatkan terutama golongan bujang dan fasa awal perkahwinan agar tidak membandingkan alam rumahtangga realiti dengan fantasi yang selalu ditayangkan dalam drama TV dan sebagainya. Beliau turut memberi tips untuk melestarikan cinta dalam rumahtangga kerana cinta itu adalah ‘bahan bakar’ dalam rumahtangga. Kata-kata cinta perlu diluah, bukan diperam. Jangan mencari kelemahan pada pasangan, tetapi cari kelemahan sendiri untuk diperbaiki dan sentiasa mencari kebaikan pada pasangan.

Slot kedua bermula sekitar jam 11.00 pagi dengan pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Anakku Pemimpin Masa Hadapan’. Encik Azmi Bahari memulakan pembentangan dengan cara ibubapa mengenali jiwa anak-anak mengikut fitrah asal kejadian iaitu Tanah dimana ibubapa harus memahami sama ada anak itu bersifat tanah pasir (perlu ditekan banyak kali untuk meninggalkan kesan), tanah liat (mudah terkesan), tanah keras (perlu daya kuat untuk dibentuk) atau batu (ambil masa lama untuk dibentuk). Beliau turut berkongsi beberapa ciri-ciri pemimpin yang perlu dididik pada anak-anak iaitu Rahmah (sifat kasih pada umat), As-Siddiq (bersifat benar dalam semua hal), Tanggungjawab dan Bijaksana.

Beliau turut menyentuh tentang seni dalam membina kepimpinan iaitu:

  • Melihat & mencontohi
  • Belajar melalui didikan & nasihat
  • Belajar melalui perbualan
  • Beliau melalui pengalaman
  • Belajar melalui kesilapan
  • Belajar melalui medan
  • Belajar melalui pergaulan
  • Belajar melalui persekitaran (tadabbur & tafakkur)

Seminar melabuhkan tirai dengan sesi soal jawab dan makan tengahari pada jam 1.00 petang.

Bacaan Al-Quran oleh saudara Mohamad Fakhruddin sebagai pembuka majlis

Saudara Muhammad Izwan memberi ucapan perasmian selaku pengarah program

Encik Azmi bin Bahari membentangkan kertas kerja

Suasana ketika program sedang dijalankan

Peserta perempuan memberi tumpuan pada pembentangan yang disampaikan

Team KBHI Crew sempat bergambar kenangan bersama penceramah jemputan

About The Author

KELAB BELIA HALUAN IPOH (PPBM 3732/09) telah berdaftar di bawah Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia pada 27 Mei 2009. KBHI beroperasi di pejabat yang beralamat No.21A, Persiaran Sepakat 3, Taman Indah Jaya, 31350 Ipoh, Perak.

Number of Entries : 100

Leave a Comment

Copyright © 2013 Kelab Belia Haluan Ipoh. All Rights Reserved. KBHI

Scroll to top
shared on wplocker.com