You Are Here: Home » Perkongsian » Ramadhan: Sabar Dalam Jiwa Kehambaan

Ramadhan: Sabar Dalam Jiwa Kehambaan

Beberapa hari yang lepas, rakyat Malaysia khususnya berjaga malam sehingga ke sahur demi menyaksikan final UEFA Champions League antara Real Madrid dan Liverpool. Dua pasukan yang hebat berentap demi trofi terulung di benua Eropah itu. Keputusan pun semua dah sedia maklum The Galaticos menang 3-1 ke atas pasukan The Reds. Dua gol yang dilepaskan oleh Liverpool boleh dikatakan ‘noob’ dan ‘careless’ oleh penjaga gol Liverpool.

Maka ramailah penyokong Liverpool begitu sedih dan kecewa diatas kekalahan tersebut, tambahan pula pemain kesayangan mereka Mohamed Salah cedera ketika final berlangsung. Lagi bertambah kacau perasaan mereka.

Saya penyokong Chelsea, saya juga pernah merasai kekecewaan pada tahun 2008 seperti penyokong Liverpool. Chelsea kalah pada Manchester United pada penentuan sepakan penalti. Memang sedih. Tersangat sedih.

Pesanan saya pada penyokong Liverpool satu sahaja; SABAR!

Jadi, apa kaitan dengan Liverpool apa semua ini dengan Ramadhan?

Ceritanya nak cerita pasal Ramadhan dan Sabar. Saja bagi muqaddimah yang tiada kaitan.

Sudah hampir Ramadhan bakal meninggalkan kita, cuma tinggal beberapa hari lagi yang berbaki. Ramadhan seperti yang semua sedia maklum merupakan bulan yang disinari dan dilimpahi dengan rahmat Allah SWT. Istimewanya Ramadhan tidak dapat diungkapkan, hanya mereka yang membuka hati dapat merasai kemanisannya.

Ramadhan kita boleh umpamakan seperti universiti atau sekolah elit. Manusia yang memaknai Ramadhan, melalui segala kurikulum yang ada, dan akhirnya bakal menjadi graduan yang diredhai oleh Allah SWT.

Dalam sebuah hadith Nabi Saw yang bermaksud;

“Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: ‘Puasa adalah pelindung daripada neraka. Sekiranya daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa’.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabar. Satu perkataan yang mudah disebut dan diungkapkan. Namun praktikalnya, ramai juga yang gagal. Maka Ramadhan inilah menjadi medan atau sekolah terbaik untuk menjadi hamba yang sabar. Ada 3 jenis sabar sebagai seorang muslim ni wahai abang kakak.

1) Sabar Dalam Ketaaatan

Firman Allah dalam al-Quran ertinya;

“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.” (Ali-Imran, 3: 200).

Bulan yang mulia ini satu alternatif mendidik diri kita untuk menjadi hamba yang sebenar-sebenar hamba dalam mentaati-Nya. Kita berpuasa hampir berjam-jam lamanya, tambah pula umat Islam di benuaEropah sana yang berpuasa hampir 20 jam, semua ini tidak lain dan tidak bukan mahu mentaati segala perintah-perintah Allah. Walaupun dalam keadaan letih, dahaga, kemudian ditambah lagi dengan amalan-amalan yang dituntut, tilawah al-Quran, tarawih, solat fardhu berjemaah, zikir-zikir, dan lain-lain lagi. Ini semua adalah sabar dalam ketaatan supaya kita menjadi orang yang beruntung seperti mana yang dinyatakan dalam ayat suci di atas.

2) Sabar Dalam Menghindari Maksiat

Abang kakak, Ramadhan bukan sekadar hanya menahan lapar dan dahaga. Jika dua benda itu sahaja yang kita dapat, rugilah kita. Sabar dalam erti kata lain adalah menahan diri. Menahan diri dari segala maksiat. Maksiat anggota badan; mata, telinga, mulut dan tertutamanya nafsu kita sendiri.

Di samping itu, ambil peluang untuk kita berpuasa sebentar dalam media sosial. Ya, saya faham kita semua begitu pantas mahu komen ini dan itu, mahu jadi pengulas politik disebabkan bahang pasca PRU 14 masih lagi tidak kehabisan, cuba-cubalah tahan sebentar jari dari menaip papan kekunci, fikirlah sebelum menaip, jika ia adalah ibadah atau kita merasakan segala penulisan yang kita tulis memberikan manfaat untuk ummah, tidak mengapa. Tetapi jika tulisan kita itu menyakitkan rakan, membuat prasangka sehingga ukhwah tercalar, maka elakkanlah.

Amati kembali pesanan Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

“Seorang muslim (yang baik) adalah yang tangan dan lisannya tidak menyakiti orang lain” (Riwayat Bukhari)

3) Sabar Dalam Menempuh Ujian

Ujian adalah realiti dalam kehidupan. Segala ujian dalam bulan Ramadhan merupakan persediaan untuk menghadapi segala ujian yang mendatang. Firman Allah yang bermaksud;

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Al-Ankabut: 2).

Ujian yang dihadapi manusia berbeza. Ada manusia diuji dengan kemiskinan, ada juga ujian dalam kekeluargaan, ujian dalam percintaan dan berbagai lagi bentuk ujian. Namun Allah menguji kerana mahu hamba-hambaNya kembali. Ujian adalah tangga-tangga menuju Tuhan. Jika kita berjaya sabar mengharungi ujian yang diberi, semakin itu Allah akan bantu membesarkan jiwa kita dalam ‘menikmati’ ujian.

Pernah satu hari saya mendengar kisah daripada seorang aktivis Palestin. Aktivis ini pernah bertemu seorang budak kecil yang tempang kakinya. Kakinya tempang akibat ditembak oleh askar Zionis Israel. Namun yang peliknya, budak kecil berkaki tempang ini nampak tenang di wajahnya, walaupun kakinya tempang. Aktivis Palestin itu bertanya kepada budak kecil itu.

“Mengapa kau begitu tenang wahai anak kecil? Bukankah kaki kau tempang?”

Kata anak kecil Palestin itu. “Aku tenang dan gembira kerana sebelah kaki aku sudah berada di syurga sana”.

Demikian besarlah jiwa anak kecil itu. Sebesar ujian itu jika dihadapi dengan jiwa yang besar, ujian yang besar itu pun boleh menjadi kecil. Jika masalah kecil dan jiwa kita pun kecil, ujian yang kecil itu pun boleh nampak besar sebesarnya.

Penutup: Mari Ambil Peluang Di Bulan Ramadhan

Ramadhan ini setahun sekali je abang kakak. Entah bila lagi kita nak dapat peluang bertemu dengan bulan yang mulia, bulan yang boleh mengubah diri kita jika kita memanfaatkannya semampu yang boleh.

Syeikh ‘Aidh al-Qarny menulis dalam bukunya ‘Fityatun Aamanu Birabbihim’ dengan menulis kalam Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah yang bermaksud;

“Setiap muslim memiliki dua kelahiran, iaitu pada ketika dilahirkan ibunya dan pada hari ketika diberi petunjuk dan mengikuti Rasulullah s.aw. Sesiapa yang tidak dilahirkan pada kelahiran kedua, maka kelahiran yang pertamanya menjadi tidak bermanfaat, kerana kelahiran pertama sama dengan kelahiran haiwan, binatang ternak, burung dan binatang lainnya”.

Ambilah kesempatan Ramadhan yang berbaki. Semoga kita semua berjaya menghabiskan Ramadhan sehingga kita termasuk dalam golongan yang muttaqin.

Nukilan: Fakhruddin Ab Ghani

About The Author

KELAB BELIA HALUAN IPOH (PPBM 3732/09) telah berdaftar di bawah Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia pada 27 Mei 2009. KBHI beroperasi di pejabat yang beralamat No.21A, Persiaran Sepakat 3, Taman Indah Jaya, 31350 Ipoh, Perak.

Number of Entries : 100

Leave a Comment

Copyright © 2013 Kelab Belia Haluan Ipoh. All Rights Reserved. KBHI

Scroll to top
shared on wplocker.com